Benarkah Kemelut Siti Dan Polis Sudah Selesai?


... pihak polis laksanakan bidang kuasa yang telah diperuntukan oleh polis ...

Polis, Siti Kasim selesai secara diplomasi


KAJANG - Polis dan peguam Siti Kasim mengambil langkah penyelesaian secara diplomasi ketika mengadakan sidang media bersama di sini, petang ini.

Memetik laporan portal MalaysiaKini, Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan mengiringi Siti Kasim selepas peguam itu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang petang tadi.


Siti Kasim kemudiannya meminta media merujuk kepada Ahmad Dzaffir yang menjelaskan polis hanya bertindak terhadap laporan dibuat ibu bapa Anis bahawa Siti Kasim didakwa menculiknya dari Hospital Kajang, yang telah pun dinafikan Anis.

"Kini pihak polis laksanakan bidang kuasa yang telah diperuntukan oleh polis dan akan bebaskan Siti Kasim pada petang ini juga. Jadi siasatan kita di bawah seksyen 186 masih berjalan dan dijangka kertas siasatan dipanjangkan kepada timbalan pendakwa raya.

"Mengenai tangkapan Siti Kassim semalam, polis mengambil langkah mengikut undang-undang sedia ada mengikut Seksyen 363 dan 186 Kanun Keseksaan, yang mana kedua-dua seksyen itu membenarkan untuk tangkapan dan kita tidak memilih mana-mana pihak untuk buat tangkapan," kata Ahmad Dzaffir.

Sidang media bersama itu diadakan susulan insiden perbalahan antara anak guam Siti Kasim, Anis Izzatty Ruslan yang berusia 24 tahun serta ibu bapa wanita berkenaan.

Semalam, polis menahan Siti Kasim kerana didakwa 'menculik' Anis dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan menghalang seorang pegawai awam di bawah Seksyen 186 undang-undang yang sama.

Bagaimanapun, majistret menolak permohonan polis untuk menahan reman peguam berkenaan.

Mengulas lanjut perkara ini, Ahmad berkata, polis akan menyiapkan siasatan terhadap Siti Kasim di bawah Seksyen 186 dan mengemukakan kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara.

Seterusnya, Siti Kassim memberitahu media beliau hanya melakukan tugasnya sebagai seorang peguam

"Saya berterima kasih kepada mahkamah kerana menolak reman kerana apa yang saya lakukan adalah sebagai seorang peguam sewaktu saya bertugas, saya bukan mahu menimbulkan sebarang masalah.

"Jadi, saya faham, kamu tidak mendapat keseluruhan gambaran atau keseluruhan cerita dan saya fikir itulah sebabnya majistret menolak permohonan reman selepas mendengar keseluruhan cerita dan gambaran sebenar bagaimana ia boleh menjadi begini," katanya.

Anis dilaporkan meninggalkan rumah, mendakwa ibunya 'terlampau mengawalnya'. Selanjutnya, ibu Anis membuat laporan dengan pihak berkuasa agama dan polis yang menahannya.

Siti Kasim telah memberi perlindungan kepada Anis di rumahnya di Kuala Lumpur tetapi polis semalam menyerbu apartmen itu dan mengambil Anis berdasarkan laporan polis oleh ibu Anis bahawa peguam berkenaan telah 'menculik' anaknya.

Siti Kasim kemudiannya pergi ke balai polis daerah Kajang, tempat Anis dibawa, bagi menuntut pembebasannya tetapi ditangkap.

Menjawab soalan beliau bersikap agresif dengan polis, Siti Kasim berkata dirinya cuba melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada anak guamnya Anis.

"Saya pasti jika sesiapa mengupah seorang peguam, kamu pasti mahukan peguam kamu melakukan yang terbaik untuk kamu dan bersungguh-sungguh bertindak supaya kamu tidak terus ditahan lagi," katanya.

Siti Kasim dan Ahmad Dzaffir bersalaman selepas sidang akhbar dan menjemputnya makan tengahari, namun ketua polis daerah itu berkata beliau mempunyai rumah terbuka Hari Raya untuk dihadiri.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/nasional/polis-siti-kasim-selesai-secara-diplomasi-1.848622
Benarkah Kemelut Siti Dan Polis Sudah Selesai? Benarkah Kemelut Siti Dan Polis Sudah Selesai? Reviewed by admin on 8:56 PM Rating: 5

No comments