Benarkah Ada Cubaan Sabotaj Pakatan Harapan?


bermain kayu tiga untuk tujuan politik yang sempit?

Benarkah Ada Cubaan Sabotaj Pakatan Harapan?

Dalam satu ulasan yang ditulis oleh Bekas Pengarang Kumpulan News Straits Times Press, beliau menyebutkan "Jadi hendaknya janganlah ada sesiapa yang cuba mensabotaj proses pembentukan dan pelengkapan pentadbiran HARAPAN ini atau bermain kayu tiga untuk tujuan politik yang sempit". Adakah beliau cuba memberikan isyarat tertentu?

Teks penuh seperti berikut:


Pada 9 Mei rakyat jelata telah membuat keputusan. Mereka memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) yang antara lain, menjanjikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kini sudah lebih 20 hari kerajaan baru HARAPAN mentadbir. Alhamdulillah segala-galanya berlaku dalam suasana aman damai walaupun ada saat-saat yang mencemaskan.

Jadi janganlah ada mana-mana pihak – dari mahligai yang bergemerlapan kepada lorong belakang yang hanyir dan gelap – cuba mencabar kesahihan kuasa rakyat.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditajukberitakan sebagai berkata beliau bimbang dengan perbezaan pendapat dalam HARAPAN.

Saya katakan begini kepada sahabat lama saya itu: Jangan sekadar bimbang saja. Sebagai orang tua kita lakukanlah yang terbaik bagi mengukuhkan perpaduan dalam pakatan kita.

Tiada yang terlepas pandangan umum

Sesiapa pun, si papa atau raja akan mengundang tindak balas yang setimpal sekiranya mereka cuba menidakkan pilihan rakyat jelata dan undang-undang negara.

Seperti saya nyatakan berulang kali, dalam dunia tanpa sempadan yang dipacu oleh media sosial ini, tidak seorang atau satu hal pun akan terlepas daripada pandangan umum.

Dunia hari ini bukan lagi dunia “raja dalam rumah buat kira-kira. Suri dalam dapur makan roti gula”.

Rakyat jelata mahu tahu dan terpaksa diberi tahu kira-kira apa yang raja sedang buat dan berapa harga roti yang dimakan suri kerana rakyat jelata lah yang membiayai keperluan mereka.

Bukan puluhan atau ratusan ribu ringgit tapi ratusan juta! Maka sewajarnyalah kira-kira yang raja buat itu demi kebaikan rakyat jelata dan bila ada raja, ada lah permaisurinya.



Dayang tepi kolam yang sedang mahu jemur tepung tidak lagi mahu dipatuk hidungnya oleh burung hitam. Ini adalah kerana raja, isteri raja, dayang dan rakyat jelata kini berada di abad ke-21 dan bukan lagi di zaman dongeng, mitos serta rekaan di mana raja adalah kudrat.

Secebis (petikan) daripada Perkara 40, Perlembagaan Persekutuan - Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat:

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Antara Melayu dan Integriti

Ya, memanglah kalau boleh orang Melayu mahu Melayu menyandang semua jawatan penting, tetapi apa gunanya kalau Melayu yang berjawatan tinggi itu zalim, perasuah dan bersubahat dengan penyangak dan pencuri.

Kerajaan baru menjanjikan reformasi institusi. Untuk itu kita perlukan seorang pakar guaman yang amanah dan berintegriti sebagai peguam negara (attorney general).

Kalau kita hendak melakukan pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi pula, kita perlukan pula seorang pendakwa raya negara (prosecutor general) yang berkaliber.

Bagi mengelakkan pemusatan dan pembolotan kuasa, kita perlu pisahkan tugas guaman dan pendakwaan. Kita perlu ada seorang peguam negara dan pendakwa raya negara.

Bangsa dan keturunan mungkin penting bagi sesetengah orang tetapi bagi semua yang mahukan keadilan, yang lebih penting adalah kewibawaan.

Jadi hendaknya janganlah ada sesiapa yang cuba mensabotaj proses pembentukan dan pelengkapan pentadbiran HARAPAN ini atau bermain kayu tiga untuk tujuan politik yang sempit. Rakyat jelata memerhatikan!

Sumber:
https://www.malaysiakini.com/news/427891
Benarkah Ada Cubaan Sabotaj Pakatan Harapan? Benarkah Ada Cubaan Sabotaj Pakatan Harapan? Reviewed by admin on 10:47 AM Rating: 5

No comments