Benarkah Boleh Jadi Gila Kalau Balik Raya?

... tren ‘membawang’ masa kini semakin tiada batasnya sehingga boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit mental! ...

Boleh Jadi Gila Kalau Balik Raya!


Raya semakin dekat. Ada hati yang teruja, balik kampung awal. Ada yang sanggup buat kuih raya sendiri—tak mahu kuih tunjuk untuk dibawa pulang untuk yang tersayang. Ada yang berdebar-debar, cuba melarikan diri—terus tak balik kampung. Yang teruja kadang-kadang juga akan berakhir dengan kekecewaan.

Kekecewaan bagaimana? Rayakan hari yang mulia? Ada dua golongan kalau kita perhatikan yang akan wujud, terutama semasa raya. Kerana masa ini adalah masa untuk yang jauh didekatkan. Yang dekat cuba dimesrakan. Tetapi sayang tren ‘membawang’ masa kini semakin tiada batasnya sehingga boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit mental!

Penyakit mental bukan perkara baru di Malaysia. Saban hari kita didedahkan dengan segala fakta dan insiden mengenai penyakit mental. Bila kita balik kampung nanti, ada macam ragam. Mungkin akan ada ahli keluarga yang jenis duduk dalam bilik— tidak pandai bergaul. Ada anak-anak yang mungkin akan membuat sesuatu berulang-ulang. Ada yang nampak normal tetapi tidak menjawab seperti orang biasa. Ada juga macam dalam dunia sendiri — berbual seorang diri, marah tak tentu fasal atau ada yang terlampau ceria bercerita mengenai diri sendiri sahaja.

Bila balik kampung nanti, jagalah diri untuk tidak jadi kaunselor tidak bertauliah. Sebagai contoh, ramai yang cuba menasihatkan seseorang yang ada penyakit mental seperti “Takde apa-apa tu, sudah-sudahlah fikir negatif” (menafikan perasan), “Nak stres apa, mengada-ngadalah kau ni” (melabel), “Anak semua masuk universiti, nak murung apa lagi” (membuat kesimpulan), “Alang-alang dah gila tu, mati lagi baiklah, menyusahkan orang saja “ (provokasi).

Bagi yang menjadi target ‘mulut puaka’ ini, binalah kekuatan dalaman supaya anda boleh tepis ayat-ayat sebegini. Pertama, buang tanggapan awal yang negatif sebagai contoh “Malaslah balik, nanti orang tanya bila nak kahwin saja”, tidak semestinya apa yang kita fikir itu betul.

Tetapi, sekiranya betul, ada pelbagai teknik yang boleh kita buat persiapan. Antaranya, (a)anggap mereka berniat baik untuk beramah-mesra (b) cepat untuk bertanyakan khabar mereka semula (c) sibukkan diri seperti tolong ambil makanan, ke dapur buat air (c) senyum dan pandang secara mesra kepada yang bertanya (kaedah ini selalunya akan menyebabkan orang yang bertanya akan malu sendiri atau jawab sendiri).

Ini bukan perkara enteng, berfikirlah sebelum berkata. Tidak semua orang boleh menerima ‘lawak’ atau gurauan kita. Janganlah kerana mulut kita, ada yang terfikir untuk bunuh diri! Jaga adab menjadi tetamu dan melayan tetamu! Jika kita tidak mampu membantu, jangan dikeruhkan lagi suasana! Jagalah hati, jagalah mulut.Kalau kita tak suka dikritik, dicemuh, dikeji—orang lain juga begitu Kita ada pilihan. Untuk ‘membawang’ atau ‘dibawang’kan.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin!



Professor Madya Dr Firdaus Mukhtar

Ketua Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia, Jawatankuasa International Muslim Mental Health Conference 2018, Malaysia.

Sumber:
http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/742408-boleh-jadi-gila-kalau-balik-raya.html
Benarkah Boleh Jadi Gila Kalau Balik Raya? Benarkah Boleh Jadi Gila Kalau Balik Raya? Reviewed by admin on 3:02 PM Rating: 5

No comments