Benarkah kedudukan Islam dan Melayu pasca PRU14 kini kabur?

Rakyat mahukan pembaharuan. Namun, saiz dan parameter pembaharuan itulah yang dicurigai sekarang.


Pasca PRU14: Membina Melayu Islam berjiwa besar 



BANYAK ketakutan yang dialami orang Melayu Islam sejak 10 Mei lalu. Kekalahan Barisan Nasional (BN) diterima secara positif kerana BN dikalahkan melalui undi demokrasi. Sebagai negara bangsa yang matang berpolitik selama enam dekad, orang Melayu Islam menerimanya.

Malah, orang Melayu Islam dan masyarakat sivil bebas partisan, sangat meraikan pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berasaskan mandat demokrasi. Era 61 tahun pemerintahan BN kini tinggal sejarah. Paling tidak dalam tempoh lima tahun mandat baharu, selepas PRU14.

Orang Melayu Islam mula melihat dan menganalisis aspek pembaharuan yang sedang dan akan dibawakan PH dalam mengisi mandat pemerintahan. Sudah tentu, bermula pada 10 Mei lalu, serta setelah kerajaan PH membentuk kabinet pertama dengan 13 menteri minggu lalu, ketelitian pemerhatian orang Melayu Islam mendadak meningkat.

Dalam tiga minggu pemerintahan PH dengan Dr Mahathir Mohamad menjadi PM, paling riuh dalam kalangan pemikir Melayu dan Islam melalui pelbagai suara gerakan NGO, terutama yang berorientasikan idea-idea konservatif, ialah isu kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu.


Memandangkan PH ialah gabungan pelbagai parti dengan pelbagai teras ideologi, serta dominasi DAP sebagai parti yang menyumbangkan 42 kerusi atau sepertiga kuasa pembentukan kerajaan PH, orang Melayu Islam mulai bimbang dan ketakutan dalam isu-isu berkaitan Islam dan Melayu.

Melayu dan Islam

Pertama, soal keistimewaan orang Melayu. Isu-isu berkaitan kedudukan Mara dan UiTM menjadi titik awal suara keresahan dan ketakutan suara Melayu mula bergema.

Manakala dalam konteks Islam pula, isu kedudukan Jakim dan agensi-agensi Islam yang lain mula dibangkitkan. Nada pertanyaan tidak berbau protes tetapi tetap menggambarkan ketakutan.

Ini boleh difahami. Memandangkan imej PH yang dibina hasil kolaborasi pelbagai ideologi parti, serta ini kali pertama kerajaan empat parti (jadi lima parti sekiranya Warisan menyertai kabinet sebagai wakil kompenen Sabah yang menyumbang sembilan kerusi kepada PH), orang Melayu Islam pasti mudah berasa gementar.

Kerajaan belum menyatakan keputusan muktamad mengenai kedudukan agensi-agensi agama. Selain Jakim, agensi-agensi termasuk Yadim, Perkim, IKIM, Jabatan Mahkamah Syariah, IKSIM dan Yapeim turut berada dalam radar ketidaktentuan.

Cadangan

Pelbagai lobi bermula. Suara-suara cadangan agak holistik. Selain NGO yang pro Melayu dan Islam yang menyuarakan pandangan, ia turut merangsang Ahli Parlimen PH untuk turut mengemukakan idea.


Ahli Parlimen Parit Buntar (Amanah), Mujahid Yusof Rawa; Ahli Parlimen Setiawangsa (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Hulu Langat (Amanah), Hassanuddin Mohd Yunus, antara yang tampil memberikan pandangan.

Uniknya, mereka sepakat mengemukakan pandangan baharu dan di luar tangkupan kotak lama. Idea asas mereka ialah meletakkan institusi pentadbiran berkaitan Islam di bawah Majlis Raja-Raja.

Pandangan tiga ahli Parlimen ini ada relevannya kerana mereka antara 58 ahli Parlimen Islam daripada keseluruhan 122 kerusi milik PH. Malah, Amanah selaku parti dengan teras Islam pastinya merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya mempengaruhi kerajaan dalam pelaksanaan dasar-dasar Islam.

Cadangan asas sekarang ialah meletakkan Jakim di bawah Majlis Raja-Raja. Setelah lebih 72 jam cadangan dikemukakan, respons agak mendatar. Tiada suara kesinambungan mengenai idea ini, terutama pandangan-pandangan yang berkaitan dengan perundangan. Paling tidak, secara Perlembagaan: Apakah dibenarkan, jabatan dan agensi kerajaan ditadbir Majlis Raja-Raja?

Persoalan utama: Apakah wajar Majlis Raja-Raja yang selama ini hanya dikendalikan oleh sekretariat, boleh dan berhak mengambil alih urusan jabatan kerajaan? Sekiranya boleh, apakah formula pentadbirannya?

Apakah kerajaan bersedia melepaskan kawalan pentadbiran agama Islam kepada Majlis Raja-Raja? Bukankah isu Islam akan terbuka kepada perdebatan terutama dalam proses reformasi, sekiranya ia berlindung di bawah Majlis Raja-Raja?


Apakah institusi agama akan menjadi kebal dan bebas kawalan kerajaan sekiranya ia bernaung di bawah Majlis Raja-Raja?

Memang niatnya baik. Sekalipun atas alasan untuk mengelakkan institusi agama dipolitikkan, namun timbul persoalan lain: Apakah masalah utama Jakim selama ini ialah isu campur tangan politik?

Sekiranya, krisis campur tangan politik, logiknya bukan Jakim sahaja yang memerlukan reformasi. Jelas, semua jabatan dan agensi strategik juga memerlukan reformasi bagi memastikan ia bebas politik!

Sekiranya isu politik yang dijadikan alasan terhadap masalah pentadbiran agensi Islam, ia dianggap pramatang. Hujahnya hanya berlandaskan perlakuan lampau BN.

Perkakas parti

Pastinya, formulanya ialah membebaskan seluruh jentera kerajaan yang berfungsi sebagai agen awam daripada pengaruh politik, bukan semata-mata pada institusi Islam. Ia reformasi menyeluruh. Idea asas PH ialah membentuk kerajaan yang tidak memperkudakan jentera awam sebagai perkakas parti.

Secara lateral, keseluruhan nilai Islam bukan hanya berpusat pada Jakim semata-mata. Memindahkan Jakim ke bawah Majlis Raja-Raja tidak menggambarkan penyelesaian isu masalah menimbulkan syak wasangka dan persoalan mengenai keseluruhan dasar Islam kerajaan.


Soal kedudukan Islam dalam pentadbiran kerajaan sangat holistik dan merangkumi banyak perkara. Ia berkait dengan dasar-dasar dalam pendidikan, ekonomi dan sosial. Kalau wujud persepsi, bahawa kerajaan PH diyakini tidak akan berlaku adil dalam isu Islam, yang terancam bukan hanya Jakim. Ia membabitkan Islam secara keseluruhan.

Baiklah, kita turunkan suhu mengenai syak wasangka ini. Jakim perlu dineutralkan dan memindahkannya ke bawah Majlis Raja-Raja hanya bertujuan demi kesejahteraan peranannya sebagai institusi agama.

Namun, secara keseluruhan: Apakah kebimbangan yang sama mengenai status Islam tidak wujud dalam soal pendidikan, peruntukan ekonomi dan fungsi sosialnya?

Apakah memindahkan Jakim kepada Majlis Raja-Raja menjamin kebimbangan umat Islam terhadap kerajaan PH yang dilihat mesra aktivis hak asasi juga akan terjawab?

Umat Islam bimbang bukan sahaja soal siapa mentadbir Jakim. Secara tipa induk, ia merangkumi isu-isu berkaitan agenda yang dihidu sebagai bertentangan dengan Islam tetapi bersembunyi di sebalik perjuangan hak asasi.

Orang Islam bimbang dengan isu Seksualiti Merdeka yang sangat cenderung memberikan hak kebebasan kepada pengamal LBGT. Umat Islam juga bimbang mengenai status hak untuk murtad.

Ia bukan rahsia. Kebimbangan ini ada asasnya. PH dilihat mesra dengan aktivis hak asasi yang menuntut banyak perubahan atas nama hak asasi, tetapi bertentangan dengan ajaran Islam.

Selain isu murtad, orang Islam mahukan kepastian: Tiada kebenaran diberikan kepada mana-mana pihak untuk menyampaikan ajaran bukan Islam kepada umat Islam. Walaupun perkara ini wujud dalam perlembagaan, penegasan kerajaan amat perlu bagi meredakan kebimbangan umat Islam.

Takut

Ini ketakutan fundamental umat Islam terhadap dasar-dasar kerajaan PH. Apa lagi, wujud fenomena bahawa trend pengundian kali ini dibangunkan atas dasar rakyat mahukan perubahan.

Persoalannya: Secara praktis, sejauh mana keterbukaan pembaharuan akan memberikan impak terhadap Islam. Malah, terhadap keistimewaan Melayu juga.

Malaysia akan melangkah ke hadapan. Itu pasti sebab unjuran keputusan PRU14 memberikan isyarat jelas: Rakyat mahukan pembaharuan. Namun, saiz dan parameter pembaharuan itulah yang dicurigai sekarang.

Ia sebenarnya sudah dipersoalkan sejak sebelum 9 Mei lalu. Namun, majoriti memilih untuk mengenepikan isu-isu tersebut, ketika puncak kempen dan iltizam pengundi lebih terarah pada agenda pembaharuan. Pengundi memilih mendahulukan soal pembaharuan ekonomi dan kebebasan bersuara.

Itu asas kepada kejayaan PH memperolehi hampir 50% undi popular. Nisbah undi itu, diterjemahkan kepada 122 majoriti PH di Parlimen.

Cuma sekarang, pasca PRU14 sudah berlalu. Natijah mengubah kerajaan sudah terlaksana. Komplikasi rasuah dan salah-laku dalam tadbir urus negara, menyebabkan kerajaan BN. Demam PRU14 sudah berakhir.

Justeru, persoalan yang terapung-apung ketika proses kempen, kini menuju puncak keraguan dan menuntut jawapan: Di mana kedudukan Islam dan Melayu dalam agenda kerajaan PH?

Jaminan

Memang Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan (agama Islam agama Persekutuan tetapi agama boleh diamalkan dengan aman) tidak akan dipinda. Itu jaminan Dr Mahathir sebaik sahaja PH diumumkan menang PRU14.

Namun, umat Islam menanti lebih daripada jaminan itu. Selama 15 tahun, sejak PRU11 pada 2004, PH aktif bersama pelbagai NGO yang menyokongnya. PH dilihat mesra gerakan Seksualiti Merdeka, pro LGBT dan menyokong idea-idea Islam Liberal. Malah, dalam beberapa keadaan, idea-idea pluralisme ketuhanan diraikan.

Ini persoalan yang menjadikan umat Islam berada dalam dilema. Suara kegusaran makin meningkat hari ke hari selepas PRU14.

Jangan salah faham, suara-suara ini juga membabitkan pengundi PH. Mereka menyokong PH bagi menjatuhkan BN yang dilihat sangat komplikated dengan isu-isu rasuah dan ketirisan tadbir urus.

Namun, mereka mulai berasa terperangkap. Selepas pasca PRU14, selesai sudah usaha membersihkan negara daripada kleptokrasi dan korupsi, pengundi yang sama mulai gusar memikirkan soal Islam dan Melayu.


Cadangan pihak yang mendakwa mewakili Hindraf 2.0 mengenai status UiTM adalah gambaran awal. Walaupun Hindraf menafikan isu UiTM dibangkitkan oleh pertubuhan itu, orang Melayu sudah melatah sakan. Ia gambaran seismografi kebimbangan orang Melayu Islam pasca 10 Mei.

Justeru, adalah penting kerajaan PH memberi reaksi segera. Tentunya bukan jawapan pramatang. Namun, idea atau asas pendirian yang konkrit mengenai kedudukan Islam dan Melayu. Jangan berikan jawapan yang retorik atau melengah-lengahkan masa (buying times). Ia akan memburukkan lagi keadaan gementar orang Melayu Islam.

Kegementaran berpanjangan dibimbangi mencetuskan tingkah-laku panik yang tidak perlu. Ia dibimbangi mencetuskan suasana tidak selesa terhadap kesejahteraan pelbagai kaum dan agama di negara kita.

Kita tidak membayangkan yang buruk. Namun, pergeseran pandangan secara terbuka dalam kalangan pemimpin pembangkang dan kerajaan, serta perang kata-kata terutama di media baharu mengenai kedudukan Islam dan Melayu perlu dielakkan.

Justeru, mengumumkan dasar kerajaanlah jalan penyelesaiannya.

Apa pun, orang Melayu Islam juga perlu berjiwa besar. Ketakutan dan kegementaran bukan cara orang Islam dan Melayu menangani keadaan.

Biarkan orang bergendang, kita jangan menari macam kerasukan! – 30 Mei, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

Sumber:
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/50949


Benarkah kedudukan Islam dan Melayu pasca PRU14 kini kabur? Benarkah kedudukan Islam dan Melayu pasca PRU14 kini kabur? Reviewed by admin on 8:54 PM Rating: 5

No comments