Suhaimi Saad hadapi masalah mata kronik
KOTA BHARU, 5 November - Bekas anggota kumpulan
nasyid In-Team, Suhaimi Saad mengalami masalah kesihatan mata yang kronik
sehingga membataskan penglihatan dan pergerakannya.
Urusan harian bapa kepada empat anak berusia 40
tahun itu kini banyak memerlukan bantuan isteri, Nordiana Mat Naim, 36, atau
lebih dikenali sebagai Ina Naim.
Katanya, dalam keadaan kesihatan tidak
mengizinkan, beliau bagaimanapun masih aktif melakukan kegiatan seni dengan
memenuhi undangan persembahan nyanyian di sekitar Kelantan dan Johor Bahru.
Suhaimi juga bakal melancarkan single terbaru
berunsur ketuhanan ciptaan sendiri berjudul Zapin Selawat penghujung tahun ini.
“Lirik dan melodi lagu sudah siap, hanya
menunggu untuk memasukkan vokal sahaja. Proses penghasilan sedikit terbatas
kerana penglihatan yang semakin hari semakin kurang jelas selain sakit kerana
silau sejak saya berada di Kuala Lumpur lagi.
“Ina yang banyak membantu seperti memandu
kereta jika ada undangan nyanyian di sekitar Kelantan manakala di luar dari
Kelantan, saya mengupah pembantu,” katanya ketika ditemui di Kubang Kerian di
sini hari ini.
Pasangan artis itu dikurniakan empat cahaya
mata yang diberi nama dalam bahasa Arab dengan maksud unik iaitu Ehmad Hadie
Elfardie, 12, (pemimpin unggul terpuji); Sallman El-Khoyri, 10, (orang yang
sejahtera lagi baik); Phyrosh Elfadwah, 8, (hamparan pengorbanan yang suci) dan
Nurlayla Elghufrony,6, (cahaya malam keampunan).
Suhaimi berkata, kesemua anaknya masih kekal
home schooling dengan dia dan Ina bertindak sebagai ‘guru’ yang memberikan
pendidikan kepada anak-anak mereka dari rumah di samping beliau yang menjalani
rawatan bagi memulihkan matanya termasuk mencuba perubatan secara tradisional.
“Ina Naim pula berniaga barangan kosmetik,
pakaian di laman sosial dan menerima tempahan menyediakan makanan bagi membantu
menambah pendapatan keluarga.
“Kehidupan kami sekeluarga di sini berjalan
lancar dan bahagia kerana dikelilingi keluarga angkat yang melimpahkan kasih
sayang dan sentiasa memberikan sokongan walaupun berjauhan daripada ibu bapa
Ina di Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan
Penggiat Seni Kelantan, Mohamad Afandi Mohamad berkata, pihaknya menyifatkan
Suhaimi sebagai permata yang merancakkan lagi industri seni di Kelantan.
“Pihak persatuan berbesar hati untuk
menjalinkan kolaboratif dengan Suhaimi untuk mencipta lagu berunsur dikir barat
dan nasyid.
“Tiga anak Suhaimi juga boleh menyanyi dan
sudah bergerak aktif menyanyi dengan nama kumpulan Pelapis serta pernah
menghasilkan album berjudul Doa dan Lagu.
“Jadi, kami rasakan tidak ada masalah untuk
bekerjasama dalam bidang seni suara dengan mereka sekeluarga,” katanya.
No comments