Sejarah Yahudi Di Malaysia

 



Yahudi Malaysia adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada orang-orang Yahudi yang tinggal di Malaysia, atau yang berasal dari negara ini. Sejumlah yang kaum ini pernah hidup secara terbuka di negeri Pulau Pinang sehingga ke arah akhir 1970-an.


Mereka juga pernah menduduki di tempat lain di negara ini terutamanya di Negeri Sembilan dan Melaka. Orang Yahudi Malaysia terdiri daripada keturunan Yahudi Sephardi yang tinggal dalam kalangan orang Kristang (orang Serani), Yahudi Mizrah (majoritinya adalah orang Yahudi Baghdadi), Yahudi Cochin dari India dan Yahudi Ashkenazi.


Perhubungan pertama antara masyarakat Yahudi dan masyarakat di Tanah Melayu (yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia) bermula pada sekitar kurun ke-9 yang bermula di Lembah Bujang. Pada abad ke-18, kaum ini dijumpai di Bazar Kosmopolitan, Melaka. Kemunculan Yahudi Baghdad di Pulau Pinang berkemungkinan besar disebabkan oleh kemajuan perniagaan dan perdagangan yang diuruskan oleh British pada sekitar kurun ke-19. 


Keadaan ini telah menarik perhatian saudagar-saudagar Yahudi seperti Sassoon dan Meyers dari India. Ada juga yang mengatakan terdapat penghijrahan secara beramai-ramai orang Yahudi dari wilayah Baghdad Uthmaniyyah ketika pemerintahan Daud Pasha pada tahun 1817 hingga 1831.


Orang Yahudi pertama yang telah tiba dan mendiami Tanah Melayu adalah Ezekiel Aaron Menasseh. Beliau telah berhijrah dari Baghdad pada tahun 1895. Menurut sumber, Manasseh mengamalkan kehidupan dan budaya Yahudi selama 30 tahun sehingga selepas Perang Dunia Pertama. Ketika itu, populasi masyarakat Yahudi yang berhijrah dan mendiami Tanah Melayu semakin meningkat.


Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, masyarakat Yahudi telah dipindahkan ke Singapura dan sebilangan daripada mereka telah dibunuh dan dikebumikan ketika pendudukan Jepun. Selepas peperangan, majoriti masyarakat Yahudi Tanah Melayu telah berhijrah ke Singapura, Australia, Israel dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1963 hanya terdapat sekitar 20 keluarga yang tinggal di Malaysia.


Kini, dianggarkan terdapat 100 orang Yahudi di Malaysia dan kebanyakkan mereka adalah pelarian dari Rusia. Hampir semua daripada mereka telah menganut agama Kristian atau telah berhijrah ke negara lain disebabkan oleh semangat anti-semitik yang kuat dan dasar anti-Israel yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sejak 1970-an.


Keturunan masyarakat Yahudi Malaysia yang tinggal kini menetap di Singapura, Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat (terutamanya di New York) dan bilangan populasi mereka sehingga kini tidak diketahui. Majoriti masyarakat Yahudi Malaysia boleh berkomunikasi di dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan terdapat sebilangan daripada mereka boleh bertutur di dalam bahasa Yiddish, Parsi, Ibrani dan Arab.

Tanah perkuburan Yahudi di Pulau Pinang telah ditubuhkan pada tahun 1805 dan adalah dipercayai ia merupakan tanah perkuburan Yahudi yang tertua di Malaysia. Berukuran 38,087 kaki persegi, ia terletak di Jalan Zainal Abidin (sebelum ini dikenali sebagai Jalan Yahudi). Kubur tertua di kawasan perkuburan tersebut bertarikh 9 Julai 1805 dan ia dimiliki oleh Puan Shoshan Levi. 


Dianggarkan terdapat 106 buah kubur dan kubur yang terbaru disitu adalah ketika tahun 1978. Boleh dikatakan, tanah perkuburan ini dibina khusus untuk maysarakat Yahudi di sini.

 

Satu-satunya rumah ibadat Yahudi (saumaah) di Pulau Pinang yang terletak di Jalan Nagore telah ditutup pada tahun 1976. Penutupan ini adalah disebabkan masyarakat Yahudi yang pada ketika itu tidak dapat melakukan ibadat minyan, di mana terdapat seramai 10 orang lelaki berkumpul untuk beribadat secara beramai-ramai.


Sebuah jalan di Pulau Pinang yang dinamakan sebagai Jalan Yahudi (Jew Road) pernah diabadikan kerana disitu merupakan kawasan majoriti masyarakat Yahudi. Jalan ini merupakan jalan kecil yang terletak di antara Jalan Burmah dan Jalan Macalister di George Town. Kini, nama jalan tersebut telah ditukarkan kepada Jalan Zainal Abidin dan ini telah memadamkan salah satu daripada legasi kewujudayan Yahudi di Malaysia.


Sumber: Wikipedia

 

Sejarah Yahudi Di Malaysia Sejarah Yahudi Di Malaysia Reviewed by admin on 4:03 PM Rating: 5

No comments