Mahathir tidak kisah potong pencen

KUALA LUMPUR, 11 Nov - Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu beliau bersedia untuk menyumbangkan pencennya sebanyak 10 peratus untuk membantu meringankan beban mereka yang hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Dr Mahathir berkata, beliau membuat keputusan itu kerana kehidupan beliau tidak terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta prosedur operasi standard yang terpaksa diamalkannya susulan wabak penyakit berkenaan.

Bagi mengurangkan jurang antara mereka yang bernasib baik dan bermasalah, beliau berkata, pemotongan 10 peratus daripada gaji kakitangan awam dan swasta untuk membantu golongan miskin semasa pandemik Covid-19 adalah langkah wajar.

"Tiap kali saya jadi Perdana Menteri, usul saya yang pertama ialah memotong gaji saya, gaji menteri dan timbalan menteri dan juga pegawai tinggi kerajaan sebanyak 10 peratus. Tidak ada pun masalah ekonomi yang besar di masa itu.

"Sekarang gaji sudah naik berkali ganda dari dahulu. Sementara ramai (pekerja) yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam kerajaan tidak mengalami apa-apa kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji," katanya.

Semalam, Dr Mahathir mencadangkan agar mereka yang berpendapatan tinggi dalam sektor awam atau swasta menyumbang 10 peratus daripada gaji mereka kepada golongan kurang bernasib baik, khususnya mereka yang hilang pekerjaan semasa pandemik Covid-19.


Mahathir tidak kisah potong pencen  Mahathir tidak kisah potong pencen Reviewed by admin on 10:45 AM Rating: 5

No comments