Kerajaan harap benarkan pengeluaran KWSP RM6,000 secara pukal - Abdul Azeez
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau memahami pengeluaran bersasar yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah demi kebaikan jangka panjang KWSP.
"Masih terdapat beberapa golongan yang sangat terdesak untuk mendapatkan belanja bulanan antaranya seperti pekerja diarahkan cuti tanpa gaji dan mereka yang dipotong gaji.
"Pekerja yang dikurangkan tempoh masa kerja sekali gus pengurangan tempoh bekerja itu turut mengurangkan pendapatan bulanan mereka termasuk individu yang telah berhenti kerja sebelum pandemik bagi memulakan perniagaan tetapi kini menghadapi kewangan yang meruncing akibat situasi ekonomi yang malap. Ini semua adalah antara golongan yang bermasalah dan sangat memerlukan tunai bagi meneruskan kelangsungan hidup.
"Mereka tidak mendapat manfaat Skim Insurans Pekerjaan (EIS) serta sebahagian pula mungkin tidak mendapat Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kerana rekod pendapatan isi rumah melebihi RM5,001,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, KWSP mampu untuk menimbangkan tambahan pengeluaran daripada kategori-kategori rakyat yang memerlukan.
Katanya, sekiranya perlu, KWSP boleh mengehadkan jumlah pengeluaran melalui peratusan simpanan yang ada bagi mengelakkan masalah pencarum pada hari tua.
“Saya percaya pada akhirnya kerajaan akan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dan menjadikan kepentingan masyarakat sebagai keutamaan negara.
“Insya -ALLAH, suara-suara rakyat ini adalah tanggungjawab dan amanah buat kami Ahli Parlimen BN kumandangkan di Dewan Rakyat kelak,” katanya.
No comments