Tun Rahah Tokoh Wanita Negara

Balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah, dilaporkan baru sahaja meninggal dunia sekitar jam 4.45 petang, Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.

Khabar pemergian Tun Rahah, yang berusia 87 tahun itu disahkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Twitter miliknya.

Biografi Allahyarhamah

Nama Allahyarhamah Tun Hajah Rahah binti Tan Sri Dato' Haji Mohamed Noah begitu sinonim dengan kejayaan suaminya, Tun Abdul Razak sebagai arkitek pembangunan negara. Benarlah jika dikatakan di sebalik kejayaan seorang lelaki pastinya terdapat seorang wanita yang menjadi semangat dan pendorong. 

Beliau banyak memberi semangat dan perangsang kepaad suaminya terutama ketika menghadapi peristiwa Darurat di Tanah Melayu dan rusuhan kaum pada tahun 1969. Allahyarhamah Tun Rahah bergiat aktif dalam pergerakan kaum ibu UMNO dan terlibat dengan pergerakan wanita UMNO Petaling Jaya. Beliau juga cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi faedah kepada kaum wanita. Allahyarhamah Tun Rahah juga menjadi pengasas pergerakan wanita UMNO Petaling Jaya. Beliau adalah penaung PERTIWI yang pertama, iaitu sejak tahun 1969 hingga tahun 1976. Beliau turut dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). Allahyarhamah Tun Rahah telah dianugerahkan pingat emas Tun Fatimah daripada NCWO pada tahun 1976.

Nama Allahyarhamah Tun Rahah tidak asing lagi di kalangan pemimpin tertinggi wanita seluruh dunia. Beliau amat dikenali kerana sikapnya yang lemah lembut, bersifat keibuan dan cepat mesra. Beliau menerima lantikan sebagai Canselor UNITAR dan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Falsafah Pendidikan dari Universiti Utara Malaysia(UUM) sewaktu Majlis Konvokesyen Kali ke-22.

Menyingkap kembali sejarah kehidupannya, pada 4 September 1952, sebaik sahaja meninggalkan Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bahru ketika berusia 19 tahun, beliau telah berkahwin dengan Tun Abdul Razak yang ketika itu berusia 30 tahun dan sedang berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan 5 orang putera iaitu Dato' Sri Mohd Najib(Bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-6), Ahmad Johari(Peguam), Mohamad Nizam(Kewangan), Mohamad Nazim(Arkitek) dan Mohd Nazir(Kewangan).

Kekentalan semangat beliau dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi menjadikan beliau seorang teman seperjuangan yang setia dan bertanggungjawab. Sifatnya yang lemah-lembut, sederhana dan bersahaja adalah rahsia utama yang menyebabkan beliau disenangi oleh masyarakat di kampung dan bandar. Sifatnya yang sederhana itu banyak membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak  sebagai seorang pemimpin negara yang disegani. Beliau juga memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihanraya, berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran perkumpulan wanita.

Allahyarhamah Tun Hajah Rahah telah membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu memberi sumbangan yang berkesan kepad pembangunan negara. Ini terbukti apabila beliau bukan sahaja telah menjadi pasangan setia kepada pemimpin tersohor negara, malah beliau juga telah melahirkan seorang putera yang memegang tampuk tertinggi pentadbiran negara iaitu Dato' Sri Mohd Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6. Disamping itu beliau juga sentiasa mengingatkan kaum wanita agar melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan khususnya untuk memajukan kaum wanita di samping memberi sumbangan dan khidmat bakti untuk negara.

                                   إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
                                                                         .
         أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَها وَارْحَمْها وَعَافِهاوَاعْفُ عَنْها

"Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.."
                                                                         .
                               ﺁﻣِّﻴْﻦآمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
                                                                         .
Salam takziah.

Sumber: http://penatokoh.blogspot.com/2014/01/tun-hajah-rahah-tan-sri-mohd-noah.html?m=1
Tun Rahah Tokoh Wanita Negara Tun Rahah Tokoh Wanita Negara Reviewed by admin on 10:46 PM Rating: 5

No comments