274,639 pekebun kecil RISDA terima BMT
KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memperuntukkan
sebanyak RM201 juta melalui Belanjawan 2020 untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT)
kepada pekebun kecil di seluruh negara.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA), Datuk Mohd Salim
Mohd Sharif berkata, penerima bantuan itu membabitkan seramai 274,639 pekebun
kecil RISDA dan 61,763 pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Menurutnya,
penyaluran bantuan itu akan dilaksanakan oleh kedua-dua agensi terbabit.
“Kadar bantuan adalah sebanyak RM600 seorang yang akan diakaunkan ke akaun
penerima yang telah didaftarkan dalam dua peringkat.
“Dua
peringkat itu adalah RM300 ke akaun pekebun kecil mulai 7 Disember 2020 lalu
dan RM300 pada Januari 2021,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Penyaluran
BMT 2020 di Bangunan Parlimen di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Salim berkata, daripada sebanyak 237,207 permohonan yang diterima setakat ini, RISDA telah membuat bayaran sebanyak 85 peratus atau 202,717 kepada pekebun kecil dan penoreh getah dengan nilai peruntukan RM121.6 juta.
Katanya, bagi baki permohonan membabitkan
seramai 34,490 pemohon pula akan disalurkan minggu depan.
“Bagi
pekebun kecil yang masih belum menerima atau dalam proses permohonan, RISDA
masih membuka permohonan sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya.
Menurutnya,
bilangan penerima terbanyak merupakan dari Sarawak iaitu seramai 58,048 orang
diikuti Kelantan (49,328) dan Kedah (45,297).
Sementara
itu, mengulas perkara sama, Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata,
pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan RISDA dan mengusahakan
kebun getah dengan jumlah keseluruhan milikan tanah tidak melebihi 2.5 hektar
layak menerima bantuan tersebut.
Katanya,
bantuan itu diberikan kepada satu lot penerima sahaja sama ada pekebun kecil
atau penoreh.
“Penyaluran
BMT ini merupakan usaha dan keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan beban
pekebun kecil yang menghadapi penurunan produktiviti akibat musim tengkujuh.
“BMT
juga memberi manfaat kepada ribuan pekebun kecil serta penoreh getah dalam
kumpulan isi rumah berpendapatan rendah yang sangat terkesan apabila mereka
kehilangan punca pendapatan pada musim tengkujuh dengan cuaca buruk berpanjangan,”
katanya.
Tambahnya,
melalui Belanjawan 2021 juga, kerajaan yang prihatin dengan situasi pekebun
kecil akan meneruskan BMT bermula pada Disember 2021.
No comments