Lonjakan harga minyak sawit beri manfaat kepada pekebun kecil


KUALA LUMPUR, 3 Dis - Pekebun kecil terutamanya mereka yang telah mendapat latihan pertanian yang baik akan memperoleh manfaat daripada lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) yang dijangka terus meningkat berikutan permintaan yang tinggi pada masa ini.


Pengerusi Lembaga Minyak Sawit  Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata harga minyak sawit mentah telah melambung ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun iaitu pada RM3,501.50 setan metrik.


"Kami menjangkakan harga ini akan kekal stabil pada paras RM3,400 setan metrik," katanya ketika menjadi tetamu jemputan di Ruang Bicara Bernama TV yang bertajuk "Industri Sawit : Rahmat Buat Rakyat dan Negara".


Beliau menjelaskan trend peningkatan ini adalah kerana tahap kestabilan stok serta peralihan permintaan yang kian bertambah berikutan kekurangan sumber minyak lain disebabkan perubahan cuaca La Nina.


Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata meskipun dunia dilanda COVID-19 yang sekali gus mengakibatkan penguncupan ekonomi, sektor sawit negara kekal utuh didorong oleh permintaan yang stabil.


"Walaupun mendapat tentangan daripada Kesatuan Eropah, mereka merupakan pengimport minyak sawit ketiga terbesar selepas China dan India. 


"Kami sedang berusaha untuk memperbetulkan persepsi negatif mereka terhadap industri sawit tempatan dengan memperkenalkan pensijilan mampan dan pada masa sama mencari pasaran baharu untuk diterokai," katanya. 


Ahmad Jazlan menambah industri sawit memainkan peranan penting dalam memantapkan ekonomi negara, menyumbangkan sekitar RM67.55 billion dari segi aliran masuk tunai ke negara ini.


"Industri sawit juga telah menyumbang 6.57 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK)," katanya.


Sumber: BERNAMA

Lonjakan harga minyak sawit beri manfaat kepada pekebun kecil Lonjakan harga minyak sawit beri manfaat kepada pekebun kecil Reviewed by admin on 12:05 PM Rating: 5

No comments