Benarkah Ahli Parlimen PAS Pecah Amanah MSET?
beberapa kenyataan disiarkan menerusi sebuah laman web sejak awal Mei lalu dilihat bersifat serangan peribadi terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu
Ahmad Amzad kalis serangan peribadi
KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu menyifatkan serangan peribadi yang dihadapinya sebelum ini sebagai lumrah dunia politik malah ia tidak sekali pun menjejaskan semangat juang.Ahmad Amzad Hashim berkata, biarpun serangan yang dihadapi sejak hari terakhir kempen sempena PRU14 lalu tidak mendapat sambutan, beliau kesal kerana budaya fitnah masih ada dalam kalangan masyarakat.
“Perkara begini dianggap lumrah sebab setiap PRU perkara sama berlaku kepada hampir setiap calon. Sekiranya saya layan, ia akan alih perhatian saya kepada tanggungjawab saya untuk berjuang demi rakyat.
“Sebelum ini saya berdepan serangan dari jentera Umno. Kali ini saya tidak pasti serangan dari website sebenar atau akaun palsu, namun umumnya ia tak mendapat sambutan kerana masyarakat lebih kenal siapa saya,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa beliau terpalit dengan skandal pecah amanah ketika berada di dalam MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd. (MSET) sebagaimana disebarkan laman web itu, katanya, ia adalah kenyataan berunsur fitnah.
“Nak tahu pasal MSET, tanya orang MSET, saya tak perlu cerita sendiri berhubung diri saya, orang akan ceritakan kerana mereka tahu saya sejak kecil saya bagaimana. Mereka tahu syarikat yang saya masuk, saya pulihkan, saya betulkan dan saya lawan rasuah.
“Kalaulah saya ada duit RM40 juta dalam poket, tak adalah saya ‘berpeluh-peluh’ gerakkan kempen untuk pastikan kemenangan Pas. Sepatutnya maklumat liar tak dijadikan sumber rujukan dan perlu dipastikan kesahihannya,” katanya.
Ditanya sama ada akan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu itu, Amzad berkata, setakat ini beliau tidak merancang untuk berbuat demikian dan bersedia memaafkan pihak yang telah menyebar fitnah itu.
“Di bulan mulia ini saya mengharapkan budaya fitnah dapat dihentikan dalam kalangan masyarakat. Saya maafkan mereka yang berkenaan sekiranya ada membuat cerita tidak baik terhadap diri saya, sekiranya masih ada, saya minta agar dihentikan.
“Dalam Pas kita dididik supaya berlapang dada, sebelum dinamakan sebagai calon kita pun ada taklimat tertentu supaya kita sabar dengan semua (cabaran) ini,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya tindakan lanjut sekiranya fitnah demikian masih berterusan dan keterlaluan, Amzad berkata, beliau akan membuat laporan polis.
“Sekiranya yakin dengan ‘maklumat’ yang diviralkan, tampil ke depan, buat kenyataan secara rasmi, saya nak tengok setakat mana mereka boleh buktikan dakwaan itu.
“Bukan setakat itu, ada juga yang membuat serangan peribadi mengenai perkara lain ke atas saya. Sekiranya selepas ini penyebaran fitnah begini agak keterlaluan, saya terpaksa buat laporan polis,” katanya.
Terdahulu, beberapa kenyataan disiarkan menerusi sebuah laman web sejak awal Mei lalu dilihat lebih bersifat serangan peribadi terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/politik/ahmad-amzad-kalis-serangan-peribadi-1.840835
Benarkah Ahli Parlimen PAS Pecah Amanah MSET?
Reviewed by admin
on
8:44 AM
Rating:
No comments