BANDAR PINTAR: FANTASI ATAU REALITI?
Di dunia ketika ini, hampir semua negara telah pun mencapai
tahap kemajuan yang baik. Tahap kemajuan yang dimaksudkan disini adalah keadaan
negara tersebut, baik dari segi ekonomi, fasiliti, institusi waima keamanan
sesuatu negara tersebut. Pada masa kini, rata-rata negara maju sudah mula
bersaing untuk menjadi negara yang paling atas dalam carta untuk semua aspek,
samaada dari segi ekonomi, mahupun dari segi segi lain.
Mengikut carta kedudukan yang terkini, negara yang paling
atas dari segi perkembangan ekonomi adalah negara Amerika Syarikat, diikuti
oleh negara China, Jepun, Jerman dan seterusnya United Kingdom pada masa ini.
Bagi jujukan kedudukan dari segi pembangunan pula, ia turut didahului oleh
Amerika Syarikat, diikuti Russia, China, United Kingdom dan seterusnya Jerman.
Mengikut carta kedudukan ini, dapat ditafsirkan bahawa
negara yang kukuh dari segi ekonomi serta kemajuannya adalah Amerika Syarikat,
China, United Kingdom dan juga Jerman. Keempat-empat negara ini dapat
diistilahkan sebagai 4 negara paling maju serta stabil untuk kedudukan di mata
dunia.
Meskipun mempunyai kondisi kewangan yang kukuh serta
kemajuan negara yang diiktiraf, tidak bermaksud sesebuah negara itu cukup aman,
tenteram serta stabil dari semua aspek. Sebagai contoh, Amerika Syarikat.
Pelbagai rusuhan serta demonstrasi telah diadakan sejurus selepas pilihan raya
dimana, Donald Trump diangkat sebagai presiden negara tersebut sebelum ini.
Selain itu juga, kadar kemiskinan serta kadar infrastruktur yang maju hanya
dapat dilihat di bandar bandar utama dan tertentu, sekaligus tidak menunjukkan
bahawa meskipun mempunyai kewangan serta kemajuan yang kukuh bermaksud bahawa
sesebuah negara itu cukup aman dan stabil dari semua aspek.
Bila diutarakan mengenai ‘Bandar Pintar’, pasti ramai sudah
menjangkakan maksud perkataan tersebut, dimana ia menggambarkan satu bandar
yang cukup maju dan mampan dari segi teknologi, mahupun infrastrukturnya. Secara
teorinya, ‘Bandar Pintar’ didefinisikan sebagai sebuah bandar yang maju dari
segi teknologi dan infrastruktur, dimana teknologi yang digunakan untuk bandar
tersebut adalah terdiri daripada teknologi yang terkini dan cukup maju.
Sebagai gambaran ringkas, sebuah bandar yang diiktiraf
sebagai bandar pintar, mempunyai keupayaan teknologi yang cukup hebat dan
tinggi. Dimulakan dengan sistem pengangkutan yang sepenuhnya disokong oleh
teknologi, sistem perbandaran yang mantap dan terurus pada tahap yang optimum,
serta dilengkapi dengan prasarana serta infrastruktur yang maju dan canggih.
Penduduk-penduduk di bandar pintar juga digambarkan sebagai satu kolonisasi
yang berkemampuan dan menggunakan teknologi untuk kegunaan dalam kehidupan
seharian pada tahap yang maksimum.
Disamping itu juga, untuk memastikan sesebuah bandar itu
dapat diistilah serta diiktiraf sebagai bandar pintar, penggunaan beberapa
teknologi wajib seperti teknologi IoT (Internet of Things), teknologi ICT, teknologi
RFID, teknologi wayarles berkelajuan tinggi dan juga beberapa teknologi lain
yang baru dirintis untuk kemudahan manusia.
Mengikut Techopedia, Bandar Pintar atau ‘Smart City’ membawa
maksud satu bandar yang direka dan dirancang khas, dimana ia menggunakan
tekologi secara maksimum untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi satu satu
kawasan ‘urban’ itu, dimana pengurusan sumber tenaga, transportasi dan juga
kemudahan awam diberi tumpuan lebih dalam konteks ini. Di samping itu juga, ia
turut bertujuan untuk mengurangkan penggunaan sumber-sumber tenaga yang terhad,
pengurangan sisa buangan dan juga kos kehidupan. Secara menyeluruh, bandar
pintar ini dirancang dan distruktur khas untuk meningkatkan lagi kualiti
kehidupan untuk penduduk-penduduk di bandar tersebut menerusi penggunaan
teknologi-teknologi pintar.
Seiring dengan perkembangan teknologi wayarles masa kini,
iaitu perkembangan teknologi 5G, pelaksanaan perancangan bandar pintar juga
dilihat sebagai sesuatu yang tidak mustahil. Secara ringkas, 5G merupakan
teknologi wayarles yang berkemampuan mencapai tahap kelajuan dan kepantasan
muat turun data, mengatasi teknologi wayarles sebelumnya iaitu 4G dan 3G. jika
dibandingkan, kelajuan 5G diteorikan mampu mencapai tahap kelajuan pada kadar
gigabait, mengatasi 4G dan 3G yang hanya mampu mencapai tahap kelajuan pada
kadar megabait dan kilobait. Namun begitu, apa perkaitan yang muncul di antara
pelaksanaan bandar pintar dan juga 5G?
Jika dilihat kembali pada definisi serta maksud bandar
pintar itu sendiri, ia merupakan sebuah sistem perbandaran yang dilihat
menggunakan teknologi pada kadar maksimum dalam kehidupan seharian, dimana
hampir kesemua fasiliti, sistem kenderaan awam, infrastruktur dan juga sistem
komunikasi menggunakan teknologi teknologi yang baru dan canggih.
Harus diingat juga bahawa teknologi teknologi canggih yang
ada pada masa kini beroperasi menggunakan teknologi wayarles, dimana hampir
keseluruhannya bertindak secara ‘remote’. Atau tidak dihubungkan dengan mana
mana sistem kabel telekomunikasi bawah tanah. Ini bertujuan untuk mengurangkan
kos penyelenggaraan dan juga meningkatkan lagi kadar efisiensi sesuatu teknologi
tersebut. Jadi, bagaimana teknologi 5G memainkan peranan penting dalam
pelaksanaan sistem bandar pintar ini?
Sepertimana dimaklumkan sebentar tadi, 5G membawa sistem
perpindahan data pada kadar kelajuan yang cukup tinggi. Lihat kembali kepada
jenis jenis teknologi yang diimplikasikan kepada bandar pintar sebentar tadi,
hampir kesemuanya menggunakan teknologi wayarles dimana tiada sebarang sistem
kabel bawah tanah digunakan untuk tujuan penghantaran data. Untuk itu, satu
teknologi wayarles yang berkemampuan menghantar data pada tahap kelajuan yang
optimum diperlukan untuk memberikan penjimatan dari segi tempoh masa
pemprosesan sesuatu data itu.
Dengan menggunakan teknologi wayarles 5G, penjimatan dari
segi masa sudah mampu dilaksanakan. Selain itu juga, segala jenis lain
teknologi termasuk yang lebih baru juga dapat diaplikasikan. Sebagai contoh,
teknik pemprosesan A.I, yang mana sudah mula digunakan secara meluas untuk
proses pengimejan wajah dan juga pengesahan identiti. Untuk memastikan
teknologi tersebut dapat digunakan secara baik, teknologi 5G amat diperlukan.
Ini kerana sistem A.I bagi sesuatu penggunaan secara meluas dalam industri, memerlukan
kadar muatnaik dan muatturun data dengan pantas.
Selain itu juga, IOT (Internet of Things) juga dapat dilaksanakan
dengan baik dengan hadirnya teknologi 5G. Secara ringkasnya, IOT adalah jenis
jenis peranti yang menggunakan sambungan internet untuk berfungsi.
Kebanyakannya adalah jenis peranti yang berfungsi sebagai peranti
telekomunikasi dan juga peranti multimedia. Contohnya adalah TV Pintar (Smart
TV), Pembesar Suara Pintar, (Smart Speaker) dan juga peranti peranti multimedia
yang lain.
Untuk kegunaan industri, IOT lebih berbentuk kepada peranti
yang membantu produksi serta pengurusan maklumat, seperti peranti imbasan
wajah, peranti maklumat kehadiran dan juga sesetengah dari mesin mesin
pengeluaran produk. Kesemua peranti IOT ini mampu berfungsi dengan baik dengan
adanya sambungan internet yang pantas dan stabil, yang hadir dengan 5G,
berbanding sambungan 4G atau 3G.
Jika anda ada terfikir, sejauh mana sebenarnya kelebihan
untuk sesebuah negara, untuk memiliki sebuah bandar yang diiktiraf sebagai
bandar pintar, maka jawapannya akan dapat anda temui pada pengisian perenggan
ini. Secara ringkasnya, penerangan di bahagian atas artikel ini telah
menyertakan beberapa faedah, seperti sistem bandar yang terancang, sistem
pengurusan yang lebih cekap dan juga sistem maklumat yang lebih pantas dan
telus. Namun begitu, sejauh manakah ia dapat memberi faedah kepada sesebuah
negara?
Dengan adanya bandar pintar, sesebuah negara tersebut dapat
menerima beberapa faedah yang diperoleh dari bandar pintar. Bukan sahaja untuk
kawasan bandar tersebut, namun untuk keseluruhan negara itu. Sistem teknologi
yang digunakan pada bandar pintar itu dapat diserap dan digunakan untuk
keseluruhan negara tersebut. Seandainya negara tersebut kurang berkemampuan
dari segi ekonomi, ia dapat dilakukan secara berperingkat melalui pelaksanaan
satu kawasan pada satu sesi naik taraf.
Selain itu juga, sistem ekonomi sesebuah negara itu juga
dapat ditingkatkan dengan baik dengan adanya bandar pintar. Bagaimana ini boleh
berlaku? Jika dilihat kembali kepada ciri ciri bandar pintar, pastinya ada satu
daya tarikan untuk pelabur pelabur dari syarikat syarikat terkemuka yang ingin
melabur dan memulakan bisnes di sesuatu bandar pintar itu, lantaran kemajuan
teknologi serta taraf hidup yang lebih baik berbanding bandar biasa mampu
menarik minat rata rata individu untuk menyumbang kepada populasi penduduk di bandar
tersebut, sekaligus meningkatkan lagi peluang untuk perkembangan bisnes yang
baik di kawasan bandar tersebut.
Selain itu juga, semua teknologi yang digunakan di kawasan
bandar pintar dapat digunapakai di kawasan kawasan lain di negara tersebut. Sekiranya
di bandar pintar mempunyai pelbagai teknologi yang canggih pada masakini,
seperti A.I, teknologi pengurusan maklumat serta pentadbiran yang lebih
sempuna, ia juga dapat digunapakai di kawasan lain di negara tersebut, lebih
lebih lagi di kawasan ‘rural’ yang terletak jauh dari kawasan ‘urban’. Ini
pastinya lebih mudah untuk dilaksanakan dengan adanya perancangan yang baik
serta kehadiran teknologi 5G.
Buat masa kini, sudah ada beberapa negara yang sedang dalam
usaha untuk mencapai pengiktirafan bandar pintar. Antaranya adalah seperti
negara Belanda, di mana sedang mengusahakan perancangan untuk Amsterdam Smart
city, Sepanyol, untuk bandar Barcelona mereka, Amerika Syarikat, untuk bandar
Ohio mereka, Denmark untuk bandar Copenhagen mereka, Emiriah Arab Bersatu untuk
bandar Dubai dan pelbagai lagi negara lain seperti China, Jerman dan juga
Ukraine.
Jika dilihat pada usaha negara negara lain untuk mendapatkan
pengiktirafan tersebut, adakah Malaysia juga dalam landasan yang sama?
Jawapannya adalah ya, Malaysia juga sedang berusaha untuk meletakkan negara
dalam landasan yang sama untuk mencapai pengiktirafan bandar pintar tersebut. Bermula
dengan tercetusnya idea Multimedia Super Corridor (MSC), yang kemudiannya
disambung pula dengan pembinaan Putrajaya, satu kawasan luas yang menempatkan
beberapa bangunan pentadbiran dan juga berteknologi tinggi. Walaupun pada
zahirnya ia tidak begitu kelihatan cukup ‘pintar’ jika dibandingkan dengan
negara negara luar, percayalah bahawa Putrajaya juga mampu diangkat dan
diiktiraf sebagai bandar pintar pada satu masa nanti.
Seiring dengan perkembangan teknologi, Malaysia juga sudah
mula menggunakan sistem RFID, dimana ia mula diuji dengan menggunakannya pada
sistem tol di beberapa lebuh raya di sekitar kawasan Kuala Lumpur. Meskipun
kelihatan agak perlahan jika dibandingkan dengan negara negara asing, pujian
harus diberikan kepada pihak yang berkenaan atas keberanian untuk mencuba dan
menguji teknologi teknologi serta sistem baru.
Selain itu juga, persetujuan dengan pihak jenama terkemuka
telekomunikasi dunia iaitu Huawei untuk teknologi 5G, dilihat mampu memberi
suntikan semangat serta bantuan usaha dari segi teknologi kepada usaha negara
untuk menghasilkan serta mencapai pengiktirafan sebagai bandar pintar untuk
Putrajaya. Kepada masyarakat di negara kita pula, ia dilihat mampu menjadi
perintis kepada beberapa teknologi baru serta penggunaan teknologi dengan lebih
meluas sebagai satu usaha untuk memudahkan serta memastikan urusan kerja serta
kehidupan seharian dapat dilaksanakan pada kadar lebih optimum dan mantap.
Sebagai contoh, jika pada masa kini, hanya kemudahan ICT
yang biasa sahaja yang wujud kepada tenaga pengajar di sekolah, tidak mustahil
pada masa akan dating, lebih banyak teknologi yang dilihat mampu memberi
manfaat kepada kedua-dua pihak, samaada guru mahupun murid. Selain itu juga,
pelbagai urusan di pejabat pejabat berkepentingan serta agensi kerajaan juga
mampu ditingkatkan kepada kadar yang lebih optimum. Satu lagi contoh yang mampu
dilihat adalah dari segi infrastruktur hospital serta kemudahan yang ada.
Dengan hadirnya teknologi yang dirintis dari sistem teknologi yang terkandung
dalam bandar pintar, ia mampu dimanfaatkan kepada pihak hospital seperti
penggunaan alatan perubatan yang lebih canggih, alatan pengimejan yang lebih
baik dan selamat dan juga proses pemantauan pesakit yang mampu dilaksanakan
dengan lebih pantas dan secara ‘remote’.
Jika ditanya kembali, adakah bandar pintar hanyalah fantasi,
atau ia mampu menjadi realiti? Jawpannya adalah ya, ia mampu menjadi realiti
dengan adanya usahasama serta sokongan daripada kita sebagai rakyat Malaysia.
Tidak dapat tidak, ia juga mampu membuka jalan kepada pelbagai jenis teknologi
yang mampu memberi pelbagai faedah yang banyak kepada kita sebagai rakyat
negara Malaysia.
BANDAR PINTAR: FANTASI ATAU REALITI?
Reviewed by Admin
on
7:39 PM
Rating:
No comments