Sampai polis terpaksa paut pada kenderaan
Bangi: Seorang
anggota polis terpaksa 'memanjat' bahagian hadapan kenderaan pelbagai guna
(MPV) selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kenderaan itu dalam kejadian di
tempat letak kereta restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi, di sini,
semalam.
Ketua Polis
Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima
laporan berhubung kejadian itu 3.04 pagi tadi.
"Siasatan
awal mendapati kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota Ronda Cegah
Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi melakukan rondaan di kawasan berkenaan
10.30 malam.
"Anggota
bertugas kemudian terserempak dengan kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang
diparkir dengan enjin dihidupkan.
"Mereka
menghampiri kenderaan berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke
dalam serta mengetuk cermin kenderaan yang dinaiki seorang lelaki serta seorang
wanita," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaid
berkata, sebaik pasangan itu menyedari kehadiran anggota polis yang mengarahkan
mereka keluar, lelaki yang memandu kenderaan berkenaan cuba melarikan diri dan
melanggar motosikal serta anggota yang berada di hadapan MPV terbabit.
"Ekoran
itu, seorang anggota yang berada di hadapan kenderaan itu terpaksa berpaut
dalam keadaan ia bergerak dengan jarak kira-kira 150 meter sebelum dia berjaya
melepaskan diri.
"Anggota
yang terbabit dalam kejadian ini sudah menggunakan segala usaha dan tindakan
yang perlu untuk memberhentikan kenderaan berkenaan, namun suspek terus
melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi.
"Susulan
itu, anggota terbabit mengalami cedera ringan dan motorsikal yang ditunggangnya
dilaporkan rosak," katanya.
Beliau berkata,
pihaknya mengesan suspek yang melarikan diri susulan anggota bertugas dapat
mengecam nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.
"Bertindak
atas maklumat itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing
berusia 19 dan 20 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.
"Permohonan
reman ke atas kedua-dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Bandar Baru Bangi,
hari ini, untuk siasatan lanjut.
"Kes
disiasat mengikut Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta
Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Beliau turut
menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya
menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804
atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, satu
video berdurasi 40 saat menunjukkan dua anggota polis melepaskan tembakan ke
arah tayar MPV berkenaan yang cuba melanggar dua anggota polis terbabit tular
di media sosial, hari ini.
Dalam rakaman
itu, seorang anggota polis juga dilihat berpaut pada bahagian hadapan MPV
terbabit yang sedang bergerak.
Pemandu MPV
terbabit turut dilihat memecut kenderaan dan melanggar kon di laluan berkenaan.
Artikel ini
disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 11:37 AM
Nurul Hidayah
Bahaudin
No comments