MILDEF memperkenalkan kenderaan berperisai



SEPANG- Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, Mildef International Technologies (MILDEF) memperkenalkan kenderaan berperisai bermobiliti tinggi 4×4 yang dibangunkan secara lokal.


Ketua Pegawai Eksekutif MILDEF, Datuk Seri Mohd. Nizam Kasa berkata, kenderaan pengangkut berperisai (APC) itu direka untuk keperluan Tentera Darat namun boleh diubah suai mengikut keperluan negara pengguna lain.

“Kita menghabiskan RM16 juta untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan.

“Kami menyasarkan untuk mengganti kenderaan Condor Tentera Darat yang sudah mencapai usia 30 tahun namun jumlah unit masih belum dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat R&D MILDEF di sini hari ini.

Ujarnya, ia dibina mengikut piawaian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan boleh digunakan untuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ujarnya, pembuatan kenderaan APC tempatan mampu menyelesaikan isu servis selepas jualan yang dihadapi dengan kebergantungan daripada pengeluar antarabangsa.

Dalam pada itu, Mohd. Nizam memaklumkan, HMAV4X4 akan dibawa untuk pandu uji di seluruh negara oleh tim penilaian Tentera Darat pada hujung bulan ini dengan fasa akhir ujian di Gemas, Negeri Sembilan.

Katanya, pihak MILDEF telah mengesahkan tempahan lebih daripada 100 unit kenderaan itu daripada beberapa negara Asia Tenggara dan Asia Barat.

“Kenderaan ini jauh lebih murah daripada kenderaan Eropah dan kami juga bersedia berkongsi teknologi dengan negara pengguna,” katanya.

Sumber: Kosmo Online

MILDEF memperkenalkan kenderaan berperisai MILDEF memperkenalkan kenderaan berperisai Reviewed by admin on 4:58 PM Rating: 5

No comments