Suhaimi Saad dan Ina Naim tubuh kumpulan nasyid bersama anak-anak
PETALING JAYA – Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad bakal muncul dengan sebuah album menampilkan anggota kumpulan nasyid baharu terdiri daripada isterinya, Ina Naim termasuk empat orang anaknya.
Kumpulan nasyid anak-beranak itu diberi nama sebagai Bismillah.
“Bismillah. Kami sedang menyiapkan sebuah album gandingan suara Suhaimi Saad, Ina Naim dan anak-anak.
“Album kumpulan Bismillah ini akan diterbitkan pada awal Ramadan depan. Insya-Allah,” katanya menerusi Instagram.
Suhaimi, 41, juga memberitahu, album yang masih dalam proses tersebut mengandungi 10 buah lagu, termasuk sebuah zikir akan dijual pada harga RM30 termasuk caj penghantaran.
“Untuk tempahan awal, sila WhatsApp ke 010-2769675. Cepat! Album ini sangat eksklusif dan terhad,” ujarnya.
Dalam beberapa hantaran berasingan, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Kasih Kekasih bersama kumpulan In-Team itu turut berkongsi beberapa aksi ahli keluarganya semasa proses rakaman di studio sejak awal bulan ini.
Bahkan, Suhaimi turut memperkenalkan isterinya, Ina Naim yang sebelum ini pernah muncul dengan lagu berjudul Duhai Hati pada tahun 2007.
“Ina Naim ‘is comeback’,” ujarnya.
Kosmo! pada 4 November lalu melaporkan bahawa Suhaimi yang telah tampil dengan single berjudul Zapin Selawat pada penghujung tahun lalu disahkan menghidap sakit mata kronik sejak 2019.
Dia yang kini menetap di Kelantan memerlukan bantuan isterinya untuk urusan harian ekoran masalah mata yang rabun teruk.
Suhaimi dan Ina telah mendirikan rumah tangga pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat orang cahaya matai aitu Ehmad Hadie Elfardie, 13, Sallman El-Khoyri, 11, Phyrosh Elfadwah, 9, dan Nurlayla Elghufrony, 7.
Difahamkan, keempat-empat anaknya bersekolah di rumah (home schooling) sementara dia dan isterinya berperanan sebagai guru. – K! ONLINE
No comments