Benarkah Hang Tuah Tidak Wujud?
...bagaimana pula dengan kata-kata Tidak Melayu Hilang Di Dunia?
Tiada bukti Hang Tuah wujud
MENOLAK kewujudan pahlawan Melayu tersohor, Hang Tuah bukan bererti Melaka tidak mempunyai tokoh perwira agung hebat pada zaman silam.Sebaliknya, berkemungkinan pahlawan itu bukan bernama Hang Tuah kerana tidak ada bukti yang menyebut tentang kewujudan seorang pahlawan Melaka bernama "Tuah" atau "Hang Tuah".
Hal itu diterangkan secara terperinci oleh Karyawan Tamu, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Ahmat Adam pada Syarahan Hang Tuah: Antara Sejarah dan Mitos apabila ramai terkeliru dan menyifatkan beliau sebagai anti Melayu apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Hang Tuah tidak wujud.
Pada syarahan yang berlangsung di Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Ahmat menegaskan fakta sejarah perlu diperbetulkan bagi memastikan generasi baharu tidak terus 'disuap' dengan mitos palsu.
Bukan Anti-Melayu
"Saya bukan anti-Melayu tetapi melihat kepentingan untuk memperbetulkan fakta sejarah bagi memastikan bangsa Melayu terus dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
"Tidak munasabah jika Laksamana Melaka dikatakan bernama Hang Tuah kerana istilah 'tuah' itu sendiri yang membawa makna 'untung nasib' belum wujud sebelum abad ke-18.
"Ia boleh ditakrifkan sebagai salah baca ejaan jawi iaitu ta, wau dan ha yang sebenarnya harus disebut sebagai tuha atau toh.
"Bahkan dalam naskhah Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, semua nama pembesar menggunakan nama gelaran saja," katanya.
Ahmat menambah berdasarkan kajian filologi dan perbandingan yang dilakukannya dengan menganalisis semua versi Sejarah Melayu, hanya ada dua gelaran tokoh pahlawan silam Melaka yang boleh diangkat sebagai fakta sejarah iaitu Laksamana dan Seri Bija Adijara.
"Dalam percubaan memahami sejarah wira Melayu pada zaman kesultanan Melaka, harus disedari bahawa yang menepati makna wira itu ternyata bukanlah Hang Tuha dan Hang Toh, apatah lagi Hang Tuah, tetapi Laksamana dan Seri Bija Adiraja yang terus tidak diketahui nama sebenarnya.
"Hingga kini apabila orang membicarakan mengenai wira Melayu Hang Tuah, mereka berhujah secara emosional tanpa menggunakan logik serta kemunasabahan cerita," katanya.
Beliau turut menambah, ramai ahli sejarah yang terlepas pandang judul sebenar naskhah Sejarah Melayu iaitu Salasilah Raja-raja atau Pertuturan Raja-raja yang secara simboliknya menonjolkan sifat pengarang yang bertujuan mengajar, menasihati dan mengingatkan pembesar dan rakyat Melaka.
"Naskhah ini secara halus dipersembahkan dengan beberapa tujuan iaitu mengangkat martabat raja dan Negeri Melaka serta menegur perilaku raja secara berhemah dalam bentuk cerita.
"Justeru, saya bertegas dengan pendirian bahawa naskhah Sejarah Melayu adalah karya campuran fiksyen dan sejarah yang membolehkan pembaca mempelajari nilai budi orang Melayu, tetapi tidak boleh bergantung kepadanya untuk memahami susur galur empayar Melaka zaman silam," katanya.
Terbit Buku Tolak Hang Tuah
Ahmat turut memberitahu, buku terbaharunya berjudul Antara Sejarah dan Mitos terbitan Strategic Information and Research Development (SIRD) yang memperjelaskan kajiannya secara mendalam terhadap elemen kebenaran dan dongeng dalam naskhah Sejarah Melayu baru saja diterbitkan dua minggu lalu.
"Dalam buku ini saya menerangkan beberapa pandangan terhadap karya Sejarah Melayu yang dianggap buku sejarah oleh sesetengah sejarawan di Malaysia.
"Bahkan pandangan golongan ini terhadap wira mitos Hang Tuah pun sebetulnya banyak dibentuk oleh pengetahuan bersumberkan Hikayat Hang Tuah.
"Saya harap perbahasan tema sejarah tentang erti sejarah dan takrif mitos menggunakan Sejarah Melayu sebagai bahan kajian dapat merangsang minat khalayak terhadap sejarah masa silam di negara ini dan moga lebih ramai yang berminat mencari jalan menyelongkar dan menyelidiki ratusan manuskrip lama dalam tulisan Jawi yang tersimpan di gedung perpustakaan dan arkib dalam serta luar negara," katanya.
Polemik mengenai Hang Tuah menimbulkan reaksi dalam kalangan ahli sejarah dan akademik terus berpanjangan apabila artikel yang disiarkan di halaman Nasional BH bertajuk Hang Tuah Tidak Wujud? pada 12 Disember 2015.
Ahmat Adam
Karyawan Tamu, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM
Sumber:
https://www.bharian.com.my/node/132005
Benarkah Hang Tuah Tidak Wujud?
Reviewed by admin
on
9:41 AM
Rating:
No comments